BAHAYA MADU SINTETIK PADA KESIHATAN


Pastikan ketulenan madu sebelum membelinya terutama madu yang dijual di jalanan. – Gambar hiasan

KOSMO! 14 Sept 2016 | Kehebatan madu seperti yang disebut dalam al-Quran sebagai penawar segala penyakit telah terbukti khasiatnya secara saintifik dan dibahaskan secara ilmiah di seluruh dunia.

Ia digunakan dalam pelbagai jenis makanan dan minuman sebagai pemanis dan bahan perisa kerana khasiatnya sudah diakui dapat mengubati pelbagai jenis penyakit.
Pelbagai jenis dan gred madu berada di pasaran. Rasanya berbeza mengikut sumber nektar yang dipungut. Madu juga digunakan sebagai salah satu elemen penting dalam pelbagai jenis perubatan tradisional bagi merawat penyakit. Menurut Ketua Penyelidik lebah dan madu Universiti Malaysia Kelantan, Dr. T. Kumara, 36, seekor lebah mengambil masa selama tiga hingga empat bulan untuk matang sebelum keluar mencari nektar bunga.
“Sebaik-baik madu ialah yang baru dikumpul dari sarang terutamanya madu kelulut. Hal ini kerana madu kelulut mengandungi lebih banyak air berbanding madu tualang yang lebih pekat.
“Justeru, jika dibiarkan terlalu lama madu kelulut akan terfermentasi dan menjadi lebih masam,” ujarnya sambil memberitahu harga madu kelulut lebih mahal kerana ia sukar diperoleh berbanding madu tualang. Harga jualan bagi setiap kilogram madu tualang ialah antara RM60-RM70 manakala madu kelulut boleh mencecah sehingga RM300.
Pemanis
Atas sebab itulah nektar bunga yang terkandung seribu satu khasiat itu makin diamalkan masyarakat kini.
Walau bagaimanapun, permintaan yang banyak terhadap madu menyebabkan ada sesetengah pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan mencampurkan madu asli dengan gula. Malah, ada juga yang memproses bahan pemanis sintetik agar menyerupai rasa madu asli.
Madu tiruan tersebut mempunyai rasa sama seperti madu asli, namun ia boleh mendatangkan mudarat pada kesihatan seseorang jika diambil secara konsisten dalam tempoh lama.
Mengambil contoh madu tiruan yang dicampurkan dengan bahan pemanis seperti air gula tebu dan air gula Melaka, kedua-dua pilihan tersebut memerlukan proses pemanasan jangka panjang melebihi suhu 100 darjah Celsius.
Perkara tersebut secara tidak langsung menyebabkan kandungan bahan kimia hydroxy-methyl fulfural (HMF) meningkat sehingga mencecah 3,000 miligram (mg) setiap kilogram sedangkan ia tidak sepatutnya melebihi paras 80mg.
Aktiviti enzim yang terdapat dalam madu tiruan pula kurang daripada lapan gothe.
HMF ialah bahan toksik yang terbentuk apabila sesetengah gula terutama fruktosa dan glukosa mengalami dehidrasi melalui proses pemanasan seperti memasak atau dibakar.
Herba
Dalam erti kata lain, madu yang dihasilkan secara sintetik sepenuhnya menggunakan sirap jagung berfruktosa tinggi mempunyai risiko tinggi memudaratkan kesihatan seperti diabetes dan obesiti malah jika diambil dalam jangka masa lama boleh mengakibatkan mutasi serta penyakit kanser hati.
Trivia menarik yang turut dikongsi oleh Kumara ialah penafiannya terhadap kewujudan jenis madu istimewa yang didakwa madu kelulut royal jelly.
“Madu kelulut tiada royal jelly kerana permaisuri lebah kelulut tidak menghasilkan royal jelly sendiri. Biologi mereka berbeza dengan lebah tualang.
“Sarang lebah kelulut bersifat tertutup dan bukannya terbuka seperti lebah tualang. Justeru, permaisuri lebah kelulut tidak keluar mencari nektar sendiri,” jelas Kumara.
Baru-baru ini, terdapat pihak menjual madu yang dicampur dengan beberapa jenis herba kononnya dapat meningkatkan kualiti kesihatan seseorang.
“Kesahihan perkara itu belum dapat dipastikan. Justeru, saya sarankan orang ramai tidak mudah terpengaruh supaya tidak berlaku mudarat pada kemudian hari kerana madu asli mempunyai khasiat lengkap untuk kesihatan,” tegasnya.


Dapatkan tawaran lebih JIMAT Madu Tualang Asli di sini (klik sini).


'Ke Arah 1 Rumah, 1 Bekas Madu Asli'